IRSYAD AL-FATWA KE-78: HUKUM MENJIRUS AIR MAWAR KE ATAS KUBUR

0
181

SOALAN

Apakah hukum menjirus air mawar ke atas kubur?

JAWAPAN

Memang pada asalnya yan wajib hanya dikebumikan sahaja tanpa menjirus sebarang air. Walaupun begitu bila melihat kepada sejarah salafus soleh termasuk Baginda SAW sendiri, maka masalah ini telah dibahaskan oleh ulama secara panjang lebar. Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menyiram air atas kubur anakandanya Ibrahim. Lihat Musnad Imam al-Syafie (1/215).

Secara umumnya, ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bahkan ada pendapat menyatakan sunat kerana perbuatan Rasulullah SAW itu. Tetapi penggunaan air mawar pula dianggap sebagai makruh kerana dengan sebab pembelian dan pembaziran.

Kami nukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin (2/135-136). Antara lain menyebut: “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafie dan juga pada kubur Saad bin Muaz sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah. Dan Nabi SAW telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Saidina Uthman bin Mazh’un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Dan yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati. Dan makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.”

Justeru, bagi mereka yang ingin melakukan dibolehkan dan lebih penting daripada itu adalah untuk berdoa kepada si mati kerana sabit dalam nas yang sahih.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

06 Zulkaedah 1436H bersamaan 21 Ogos 2015

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here